Cara Halus Kuasa Kawal Rakyat

Kalau fikir logik, rakyat yang miskin dan susah hidup sepatutnya mudah memberontak. Tekanan tinggi, peluang rendah, mesti ada yang bangkit lawan.

Tapi dalam sejarah Rom, perkara itu tidak berlaku secara besar-besaran.

Bukan sebab rakyat takut semata-mata.
Tapi sebab mereka “ditenangkan” dengan cara yang sangat halus.

Konsep ini dikenali sebagai “roti dan sarkas”.

Roti merujuk kepada makanan percuma yang diberikan kepada rakyat. Kerajaan Rom mengagihkan gandum setiap bulan supaya tiada siapa yang kebuluran. Bila perut kenyang, manusia jadi kurang cenderung untuk marah atau berfikir panjang. 

Sarkas pula merujuk kepada hiburan.

Kerajaan menyediakan hiburan besar-besaran seperti perlawanan gladiator di stadium dan perlumbaan kereta kuda. Semua ini diberi secara percuma dan menjadi tumpuan utama rakyat setiap hari. 

Rakyat datang, bersorak, dan tenggelam dalam hiburan. Dalam masa yang sama, perhatian mereka perlahan-lahan dialihkan daripada isu sebenar negara.

Strategi ini bukan kebetulan.

Ia satu pendekatan yang dirancang. Kerajaan sedar, kalau rakyat sibuk dengan hiburan, mereka tidak akan sempat mempersoalkan perkara lain seperti politik atau pentadbiran. 

Istilah “roti dan sarkas” ini datang daripada seorang penyair Rom bernama Juvenal. Dia melihat sendiri bagaimana rakyat mula hilang minat terhadap tanggungjawab sebagai warganegara.

Apa yang mereka peduli hanya dua perkara.
Perut kenyang dan hiburan yang menyeronokkan. 

Dalam jangka pendek, cara ini memang berkesan. Rakyat tenang, tiada kekacauan besar, dan kerajaan nampak stabil.

Namun, kesan jangka panjangnya tidak begitu baik.

Rakyat mula jadi bergantung sepenuhnya kepada kerajaan. Daya saing menurun, semangat untuk berusaha semakin hilang, dan masyarakat jadi terlalu selesa.

Apabila ekonomi mula lemah, keadaan menjadi lebih rumit.

Kos untuk terus menyediakan makanan dan hiburan menjadi semakin tinggi. Kerajaan terpaksa mencari jalan lain seperti menaikkan cukai atau mengurangkan nilai mata wang. 

Akhirnya, sistem yang pada awalnya membantu kestabilan negara mula menjadi beban.

Sedikit demi sedikit, tekanan meningkat dan struktur ekonomi mula goyah.

Sejarah ini sebenarnya membawa satu pengajaran yang penting.

Bantuan dan hiburan bukan sesuatu yang salah. Ia memang perlu dalam masyarakat.

Tetapi apabila ia digunakan untuk menutup kelemahan atau mengalihkan perhatian, kesannya boleh menjadi besar dalam jangka masa panjang.

Sebab itu, penting untuk kita sentiasa sedar dan berfikir. Tidak semua perkara yang membuat kita selesa itu sebenarnya baik untuk masa depan.

Kredit : Fakhry Harraz

Penulis

Ditulis oleh

Amirul

Menulis biarlah dengan ilmu, membaca biarlah sampai habis.

Tinggalkan komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *