Penetapan Gaji Minimum RM1500 – Populis atau Rasional?

Penetapan gaji minimum adalah isu yang sering diperdebatkan di kalangan pelbagai pihak, terutamanya pekerja dan majikan. Apakah sebenarnya gaji minimum dan bagaimana ia mempengaruhi ekonomi dan sosial negara?

Gaji minimum adalah jumlah gaji terendah yang ditetapkan oleh kerajaan atau badan berkuasa yang mesti dibayar oleh majikan kepada pekerja.

Di Malaysia, bermula 1 Mei 2022 kadar gaji minimum pekerja swasta telah ditetapkan pada RM1,500 bagi majikan yang menggajikan 5 orang pekerja atau lebih dalam satu syarikat. Penetapan ini boleh dirujuk pada Perintah Gaji Minimum 2022 yang digazetkan kerajaan pada 27 April 2022.

Tujuan penetapan gaji minimum adalah untuk melindungi pekerja daripada eksploitasi dan meningkatkan taraf hidup mereka. Namun, penetapan gaji minimum juga boleh membawa kesan buruk kepada pekerja, majikan dan negara jika tidak dilaksanakan dengan bijak.

Antara kesan buruk penetapan gaji minimum adalah:

  • Meningkatkan kos pengeluaran dan inflasi. Majikan yang terpaksa membayar gaji minimum yang lebih tinggi kepada pekerja akan menaikkan harga barangan dan perkhidmatan yang dihasilkan untuk menampung kos tambahan. Ini akan menyebabkan inflasi dan menurunkan kuasa beli pengguna.
  • Mengurangkan permintaan pekerja dan meningkatkan pengangguran. Majikan yang tidak mampu membayar gaji minimum yang ditetapkan akan mengurangkan bilangan pekerja atau menggantikan pekerja dengan teknologi dan mesin. Ini akan menyebabkan pengangguran dan kemiskinan di kalangan pekerja yang kehilangan pekerjaan atau tidak mendapat pekerjaan.
  • Menyebabkan ketidakseimbangan pasaran buruh dan diskriminasi. Penetapan gaji minimum yang tidak mengambil kira faktor-faktor seperti kelayakan, pengalaman, produktiviti, lokasi dan sektor pekerjaan akan menyebabkan ketidakseimbangan pasaran buruh. Pekerja yang lebih berkelayakan atau produktif akan merasa tidak adil jika dibayar sama dengan pekerja yang kurang berkelayakan atau produktif. Pekerja yang berada di lokasi atau sektor yang kurang diminati atau berisiko tinggi juga akan merasa tidak adil jika dibayar sama dengan pekerja yang berada di lokasi atau sektor yang lebih diminati atau berisiko rendah. Ini akan menurunkan motivasi dan prestasi pekerja. Selain itu, penetapan gaji minimum juga boleh menyebabkan diskriminasi terhadap golongan tertentu seperti wanita, orang muda, orang tua, orang kurang upaya atau orang asing yang mungkin dianggap sebagai pekerja mahal atau kurang produktif oleh majikan.

Oleh itu, penetapan gaji minimum bukanlah satu penyelesaian mudah untuk menyelesaikan masalah pekerja berpendapatan rendah. Ia memerlukan kajian mendalam dan konsultasi dengan semua pihak berkepentingan untuk menentukan kadar gaji minimum yang sesuai dengan keadaan ekonomi dan sosial negara.

Penetapan gaji minimum juga perlu diselaraskan dengan langkah-langkah lain seperti pembangunan sumber manusia, peningkatan produktiviti, penyediaan insentif dan subsidi, pembasmian monopoli dan kartel, pemantauan kualiti barangan dan perkhidmatan, pengurusan bajet isi rumah dan sebagainya untuk mencapai matlamat pembangunan mampan.

Ulasan

Jika pada tahun 2022 seorang cleaner bekerja dengan gaji RM1200 dan seorang lulusan Diploma bekerja sebagai kerani dengan gaji RM1500, kini pada 2023 seorang cleaner bergaji RM1500 dan lulusan Diploma tersebut RM1500 juga?

Kesannya ialah menyebabkan ketidakadilan. Jika gaji minimum sama untuk semua pekerja, tidak mengira kelayakan, pengalaman atau prestasi mereka, ini akan mengurangkan insentif untuk bekerja keras atau meningkatkan kemahiran mereka.

2. Kita ambil contoh kedua pula, jika dahulu Ahmad mempunyai 5 orang staf dengan gaji RM1200 dan kos overhead bagi gaji ialah RM6000 sebulan tidak termasuk caruman KWSP dan lain-lain.

Namun pada 2023, kos overhead gaji stafnya untuk sebulan akan meningkat dari RM1200 ke RM1500 dan jumlah keseluruhan RM7500. Peningkatan kos overhead sebanyak RM1500 bagi gaji staf.

RM1500 ini bagaimana untuk diserap? Sebagai usahawan, tiada cara lain selain meningkatkan harga jualan / servis.

‘Snowball Effect’ yang akan berlaku ialah secara langsung telah meningkatkan semua harga barangan dan servis di Malaysia kerana ingin menyerap peningkatan gaji minima yang ditetapkan oleh kerajaan.

3. Jika gaji minimum dikenakan secara berbeza mengikut sektor, kawasan atau kumpulan pekerja tertentu, ini akan menyebabkan ketidakseimbangan dalam pasaran buruh dan mengabaikan faktor-faktor lain seperti permintaan dan penawaran.

Kita ambil contoh jika bekerja sebagai cashier yang tidak perlu membanting tulang seperti pesawah akan mendapat gaji minima RM1500, maka siapa yang mahu menjadi pesawah? Siapa yang mahu bertani untuk menjaga ‘food security’ supaya cukup untuk rakyat Malaysia tanpa perlu mengharap import dari luar?

Oleh sebab itu, saya berpendapat penetapan gaji minima yang baru memberi kesan kepada inflasi dan peningkatan harga yang kita hadapi pada tahun 2023 ini.

Ini hanya contoh untuk membuat anda semua faham bagaimana sesebuah dasar itu memberi kesan dan impak kepada ekonomi dan sosial negara.

Leave comment

Amirul