Dalam dunia ini terlalu ramai orang yang dilahirkan bijak atau mempunyai bakat semulajadi yang tiada tandingan. Namun semua itu tidaklah bermakna jika mereka tidak mampu menangani tekanan di sekeliling mereka.
Dalam beberapa tahun ini, aku ada berjumpa ramai orang yang berbakat. Ada yang mempunyai bakat seni, cemerlang dalam akademik dan mempunyai kebolehan untuk berfikiran kritikal pada topik yang berat. Aku bekerjasama dengan mereka yang berbakat dan syukur perniagaan aku semakin baik kerana hasil titik peluh mereka dan semestinya mereka juga mendapat hasilnya.
Sebagai seorang yang tidak mempunyai bakat yang luar biasa, tanpa orang seperti mereka tidak mungkin aku sampai ke tahap ini.
Aku tidak ada kepakaran menggunakan kamera, membuat poster dan ayat iklan (digital marketing). Aku mengakui aku memang bukan pakar dalam bidang marketing offline mahupun online, kemungkinan sebelum ini menjadi ia hanyalah ‘luck’.
Namun, aku hairan dengan orang yang berbakat kerana mereka tidak mahu membina legasi mereka sendiri. Seperti orang lain yang mahu berjaya, mahu mempunyai jenama dan perniagaan sendiri. Mereka hanya menjadi ‘orang kuat’ sesebuah organisasi sedangkan aku rasa yang mereka mampu untuk jadi seorang ketua.
Satu persamaan antara mereka ialah mereka tidak mampu untuk mengikuti dateline yang aku bagi untuk sesebuah tugasan. Mesti akan lambat atau diberi pelbagai alasan yang bagi aku tidak masuk akal namun aku hanya mengiyakan kerana tidak mahu ada perbalahan.
Semestinya tidak kira pekerjaan apa pun, pasti ada rintangan dan ujian. Selalunya kerja yang lumayan, ujiannya juga selari dengan gajinya.
Aku faham, mungkin ada ketika kerja-kerja sebegini memang memerlukan masa dan kreativiti tetapi ia adalah komitmen wajib yang perlu dibuat sekiranya kita mengambil bayaran dari orang lain.
Mereka mungkin ketandusan motivasi untuk terus melangkah kerana berperang dengan emosi. Emosi yang mahukan kejayaan cepat dan mahu ‘self reward’ secepat mungkin.
Inilah detik di mana seorang itu berada di antara kejayaan dan kegagalan. Sabar dengan tekanan dari segi mental dan fizikal merupakan satu kemahiran yang tidak ada pada semua orang.
Begitulah manusia, sentiasa ada kelebihan dan kelemahan. Kita kena mengenal dulu diri kita sama ada kita dalam kategori mana, apa kelebihan kita dan apa kelemahan kita. Bila kita sudah mengenal diri, barulah kita dapat melangkah dengan mudah kerana kita sudah ‘masak’ dengan kemampuan kita.
Untuk mendapat kesabaran dan ketahanan ini memerlukan pengalaman kita menghadapi detik-detik sukar dalam hidup.
Saya tidak suka bercerita sesuatu yang terlalu peribadi, namun sesungguhnya ujian yang saya tempuh di waktu yang sangat sukar banyak mematangkan diri. Setiap manusia akan lalui detik ini di mana kita berperang dengan minda.
Kita mahu percaya kita dilahirkan untuk gagal atau untuk berjaya? Kita mahu percaya kata-kata orang atau impian yang kita idamkan? Kita mahu didoktrin dengan falsafah orang luar atau kita sendiri mencipta falsafah dan prinsip hidup mengikut acuan kita?
Renung-renungkan